LURUAN MONSUN: HUJAN LEBAT BERTERUSAN DIJANGKA HINGGA HUJUNG NOVEMBER

Ditulis oleh: Pentadbir Portal
Kemaskini pada: 20/11/2024 10:08 AM

PUTRAJAYA - Luruan monsun membawa hujan lebat berterusan yang kini berlaku di timur dan selatan Semenanjung dijangka berlanjutan hingga hujung November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan pada Selasa berkata, analisis terhadap ramalan cuaca terkini menunjukkan kekuatan luruan monsun diramal meningkat pada 27 November hingga 1 Disember iaitu keadaan berkenaan berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh itu.

Beliau berkata, MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengemas kini amaran hujan berterusan sekiranya keadaan cuaca dijangka bertambah buruk.

Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MET Malaysia menerusi medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia. - Bernama

Disiarkan pada: Sinar Harian , 19 November 2024 @ 03:20pm