JALAN KENYIR-ARING DITUTUP KEPADA SEMUA KENDERAAN

Ditulis oleh: Pentadbir Portal
Kemaskini pada: 02/12/2024 04:02 PM

KUALA LUMPUR- Jalan Kenyir-Aring di Hulu Terengganu, Terengganu ditutup kepada semua kenderaan susulan mendapan tanah yang teruk berlaku di Kilometer 187 hingga 189.

Foto dan video orang awam yang dikongsikan di media-media sosial menunjukkan mendapan tanah tersebut menyebabkan jalan terputus dan tidak boleh dilalui sepenuhnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Dr Hasli Ibrahim berkata, mendapan tanah di KM 187-189 Jalan Kenyir-Aring itu disedari semalam

Menurut beliau, ia termasuk 31 jalan yang ditutup setakat ini selepas dinaiki air akibat hujan lebat.

Tambah Hasli, pihaknya sedang memantau lokasi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan jalan berkenaan akan dibaiki apabila cuaca beransur pulih.

Menurut beliau, jalan lain yang ditutup adalah tujuh di Besut, Hulu Terengganu (sembilan), Setiu (enam), Kemaman (lima) dan Dungun (empat)

“Daripada itu, dua jalan utama yang ditutup adalah Jalan Seberang Jertih ke Bukit Yong sempadan Terengganu-Kelantan di Kampung Nangka, Besut yang dinaiki air sedalam 0.8 meter (m) sejauh 600 m dan Jalan Air Putih-Chukai di Kampung Tasik Biru, Kemaman,” katanya hari ini.

Beliau berkata, 13 jalan ditutup berperingkat kepada kenderaan ringan iaitu empat di Besut, Hulu Terengganu (satu), Setiu (lima), masing-masing satu di Kemaman dan Marang.

Sumber : Malaysia Gazette - 28 November 2024