SISTEM HEBAHAN AMARAN AWAL BANJIR MELALUI SMS DIWUJUDKAN - NADMA
Ditulis oleh: Pentadbir Portal
Kemaskini pada: 20/11/2024 10:06 AM
Putrajaya: Sistem hebahan amaran awal banjir melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) diwujudkan bagi memberikan amaran awal kepada penduduk di kawasan yang diramal berisiko banjir supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sistem berkenaan diwujudkan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan syarikat telekomunikasi antaranya CelcomDigi, Maxis dan UMobile.
Agensi kerajaan yang bekerjasama dalam sistem itu ialah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Syarikat telekomunikasi akan mendapat notis awal dari Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Nadma iaitu sebuah pusat pemantauan dan koordinasi pengurusan bencana yang beroperasi 24 jam setiap hari.
"Sebaran SMS dan flash broadcast ini dilakukan secara bersasar kepada penduduk di kawasan yang berhadapan dengan risiko banjir setelah NDCC menerima amaran banjir daripada JPS," kata kenyataan itu.
Nadma memaklumkan kesemua syarikat telekomunikasi yang terlibat telah bersetuju untuk menanggung sepenuhnya kos hebahan SMS itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.
"Bermula pada tahun ini, hebahan banjir ini akan diteruskan sepanjang tahun dan tidak terhad kepada semasa Monsun Timur Laut (MTL) sahaja," menurut kenyataan itu.
Ketua Pengarah Nadma Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan sama menegaskan satu aspek kesiapsiagaan yang perlu diberi perhatian sewaktu banjir adalah elemen komunikasi.
"Syarikat telekomunikasi ini akan membantu membuat sebaran nasihat dan amaran banjir secara percuma.
"Perkhidmatan ini amat penting untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan komuniti yang terbabit untuk membuat persediaan segera," katanya.
MTL atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di Malaysia bermula pada 5 November lalu dan berterusan sehingga Mac 2025 dengan menyaksikan lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Disiarkan pada: Harian Metro, November 15, 2024 @ 9:06pm